Thursday, November 5, 2009

lukisan alam

Suatu petang. Udara nyaman. Saya berlari-lari anak selepas beberapa saat membuat regangan. Angin sepoi-sepoi menyapu kulit .. hmm sungguh nyaman .. di kiri kanan banyak species flora yang segar seolah-olah melambai menanti kehadiran saya ke taman itu setelah sekian lama memendam niat untuk berjogging!

Satu pusingan dan dua pusingan. Huh .. dah berpeluh badan .. dah bertahun tak berlari anak .. mana boleh keterlaluan ... kelak esok urat melatah .. baru tak keruan! Lalu saya hanya bersederhana .. sambil sesekali memperlahan rentak atau diganti dengan langkahan laju ..

Menjeling kelopak2 nan indah, terasa menyesal kerana tidak membawa kamera 'soni' bersama namun saya masih ada telefon bimbit. Dan hati saya menggaru-garu untuk membuat rakaman solo ala-ala profesional :P

Dan inilah hasilnya .. lukisan alam .. menjadi peneman :)

















notaiza: marilah jalani hidup cara sihat hehe

Thursday, October 29, 2009

..campak?

Minggu ini bukanlah minggu yang produktif untuk kerja-kerja penyelidikan saya. Minggu ini minggu berehat di rumah. Saya diserang migraine selama dua hari - suatu tempoh yang paling lama pernah saya tempuhi. Irfan pula demam dengan suhu badannya yang tinggi sehingga memaksa saya dan suami membawanya ke bahagian kecemasan di Hospital Putrajaya sehingga jam 1.30 pagi. Dua hari yang lalu, demamnya masih berbaki. Dan saya lihat ada sedikit bintik-bintik merah di dahinya. Malam itu, kami kejarkan dia ke pusat rawatan di Bangi dan doktor mengesyaki Irfan diserang demam denggi kerana plateletnya agak rendah.Si kecil itu diberi rawatan segera - 200 ml air dimasukkan ke tubuhnya. Dan hari ini dia dibawa lagi untuk ulangan pemeriksaan darah.

Syukur volumnya sudah mendaki angka 154. Lalu hipotesis tentang denggi disangkal doktor. Namun bintik-bintik merah itu masih jelas di seluruh tubuhnya. Jururawat yang bertugas mengambil darah Irfan melirik bintik-bintik comel itu beberapa kali.

"Demam campak ni .." ujarnya.
"Yakah?" soal saya bingung. Uh ..memang saya tidak arif soal demam campak (tapi bab campak-campak barang atau masak campak dalam kuali boleh lah!)
"Kak X, ni macam campak, kan?" dia meminta pandangan kedua daripada seorang lagi jururawat bertugas.
Kak X berhenti sejenak. "Campak ni!!" Wah! Confident sungguh!



Lalu pulangnya dari kilnik, saya minta suami carikan sebiji kelapa muda. Mujur kedai makan mamak kini sudah setaraf AStro .. macam-macam ada .. lalu tidak sukar mencari kelapa muda di Putrajaya :)

Dan oh oh .. sebenarnya pagi tadi saya bersantai bersama anak bujang seorang itu. Memandangkan cuma kami berdua di rumah, lalu saya bawa Irfan menikmati sarapan pagi bersama. Singgah di Baker's Cottage lalu bercadang pulang saja ke rumah, namun tiba-tiba hati saya menakal .. bayangan Alamanda melambai-lambai lalu saya terus memandu ke sana.

Irfan sungguh ceria. Walaupun kurang macho kerana bintik-bintik merah menghiasi wajahnya dia tetap Irfan. Paling seronok apabila dibawa ke bahagian permainan. Akhirnya, berbaloi juga Urfan mengikut saya ke Parkson. Dapat juga Irfan mainan baru :)







A'ah .. lupa .. tujuan sebenar ke Parkson nak beli ni sebenarnya, lepas beli terus pakai hehehe :)

Friday, October 23, 2009

Sepetang Mengulit Mimpi





Urat sudah menjadi besi. Sengal sana sengal sini. Lenguh sana lenguh sini.
Uhh .. saya sungguh penat. Fizikal. Apa lagi mental. Hampir dua minggu saya 'memaksa' diri berteleku dengan penuh asyik, memerah santan kepala, dari pagi sampai petang .. kadangkala tau tau matahari sudah merajuk pergi .. tau tau nyanyian keroncong perut minta diisi menyedarkan saya dari keasyikan yang terpaksa .. ohhh .. sungguh penat. Tapi saya bukan robot .. saya jugak bukan Superman, saya juga bisa nangis! Hahahaha .. dan .. sampai satu tahap, "mintak maaf ye .. takleh pergi dah .. tepu .. mellow .. " itu suara hati saya. Hati menyuarakan keluh kesah otot-otot badan yang sudah membesi. Lalu suara itu dihantar ke otak. Otak saya akur. Lalu segenap terowong yang ada, tertutup rapat. Bamm! Sekian. Masa untuk rehat!

Oh oh .. saya dengan nekad mengemas barang-barang pembelajaran. Lalu dengan bahagianya memandu ke Bangi. Malangnya Serenity Spa sudah penuh dengan pelanggan. Kecewa! Saya mengimpikan enaknya urutan, scrub serta suana yang bakal diakhiri dengan mandian susu di situ!

"Hmm .. ke mana nak pergi ni?" Hati saya menggaru-garu.
Okay, saya lalu memandu ke Mariott Putrajaya. Hmmm .. terbayang-bayang indah dan nyamannya spa di situ .. namun sekali lagi saya melangkah pergi dengan kecewanya. Penuh! Huh .. tidak puas hati betul! Hajat mesti saya kotakan!

Dan masih ada satu lagi alternatif. Saya nekad. Lalu saya parkir di hadapan IOI Palm Garden. Dalam renyai hujan yang kian galak menyentuh bumi, saya berlari-lari anak. Dan terus ke aras 8. Palm Spa, pernah suatu ketika saya mampir ke sini tetapi hanya sekadar lawatan saja-saja. Nasib saya baik. Tiada pelanggan lain melainkan sayalah!

Lalu saya memilih pakej Hot Stone Infusion & Aromatherapy Massage yang merangkumi jakuzi, sauna, dan urutan. Memang enak .. sungguh enak sehingga ketiduran saya di kasus ketika badan diurut dengan batuan panas, dalam remang cahaya yang samar-samar diuliti instrumental ala Bali. Saya hanya terjaga apabila di penghujung rawatan, saya disua sehelai tuala panas.

"Maaflah saya tertidur .. " ujar saya terpisat-pisat.
"Tak mengapa puan .. memang rawatan ini untuk merilekskan badan .." jawab lembut si gadis yang menguliti badan saya hampir satu jam itu.

Alhamdulillah .. badan terasa segar. Syukur kepadaMu ya Allah yang masih memberi nikmat kesihatan tubuh badan dan minda .. huhu hati bernyanyi riang .. terima kasih untuk diri sendiri! :)

Wednesday, October 21, 2009

sekeping hati




Jika tiba-tiba sekeping hati ini dirundung pilu, apakah aku punya daya mencari bahagia?

Jika tiba-tiba sekeping hati ini ditusuk sembilu, adakah aku punya penawar mengubat lukanya?

Jika tiba-tiba sekeping hati ini merajuk jauh, kapankan sembuh rajuknya nanti?

Semilir sahabatku, sampaikan pesanku kepada daun yang hampir luruh itu, katakan padanya hati ini belum mahu mati, kerana di situ masih ada degup yang menyeru ..

Sunday, October 18, 2009

Raya lagi!

Ahad lepas bertempat di perteduhan saya yang serba sederhana .. saya menerima kunjungan daripada sahabat-sahabat handai. Tiada yang lebih menyeronokkan daripada bertemu semula dengan mereka yang pernah mewarnai kanvas hidup saya dan menjadikannya berwarna-warni serta indah dan ceria :)

Azlina, Azila, Fathiyah, Nabilah - Rakan-rakan lama ketika menuntut di UM; Zurani, Jamilah, Nor Fauziah - rakan ketika di KISAS; Aisyah - sahabat sependakian di Univ Nottingham, Dr. Mohamed, Intan dan beberapa jiran sekitar, anak-anak buah - Kak De, Along dan rakan-rakan, serta Dr. Kamariah - sahabat karib semenjak zaman bocah turut sudi singgah di teratak saya meski dalam keadaan yang sudah terlalu sarat dengan kandungan kedua! Saya mengharapkan lebih ramai yang datang, namun saya akur dengan jadual masing-masing yang terikat dengan komitmen yang lain. Mudah-mudahan di lain kali, ketemu jua kita.

Terima kasih semua di atas kehadiran tempohari kerana di situ terukir kebahagiaan, terlukis arca kegembiraan yang baru di kanvas hidup saya!


notaiza: oh oh petang ni saya dijemput pula oleh jiran di hadapan rumah .. raya masih berbaki! :)


antara tetamu terawal - Nabilah dan Azlina




two long lost friends - Zurani dan Dr. Azila




we are all ex-KISASIANs :)




ini rakan-rakan sekelas saya ketika di tingkatan 4 dan 5, Fathiyah dan Jamilah




sahabat ketika dari zaman kanak-kanak riang .. Dr. Kamariah dan bonda




Alieya diapit Kak Ija dan Along Tentalong :)




kenalan baru Alieya, Kak Lin :)




teruna di antara dara :)




kata Ija; "susah betul nak tackle Irfan ni" ye ke..?




Eh .. camner gambar ni boleh sesat sini nih ... ? :P

Thursday, October 15, 2009

Ukhuwwah terputus tiada



Kami saling mengenali sewaktu masing-masing menghadiri kuliah Instructional Design kala melanjutkan pengajian di peringkat Master dahulu. Dia sahabat istimewa, sentiasa dekat di hati meski perkenalan kami singkat cuma. Simin Ghafivker, begitulah manisnya nama anak kelahiran Iran ini. Sudah bertahun-tahun kami tidak bersua, hanya sesekali berutus khabar melalui sms dan YM. Namun, Allah itu Maha Pengasih, akhirnya hari ini kami ketemu lagi! Dan pertemuan hari ini bukan sekadar mengimbau kembali kenangan lalu yang terukir semasa di kampus hijau tempat menimba ilmu dahulu namun lebih daripada itu, pertemuan kali ini lebih bersifat akademik adanya.

Minggu yang sudah, telefon bimbit saya berdceit-decit beberapa kali menandakan ada lebih dariapda satu mesej yang menyapa. Ah, deretan mesej daripada Yahoo Messenger terhantar ke situ kerana di kala itu saya tiada di talian. Simin! Lantas sekonyong-konyong saya terus mencatuk aksara, log in masuk ke YM dan nah di situ kami bersembang maya.

Dia rupanya memerlukan bantuan. Lalu atas dasar persahabatan kami, saya menawarkan perkongsian ilmu. Nvivo 8 and aplikasinya menjadi agenda utama pertemuan, lalu beberapa jam saya luangkan untuk menunjukcara penggunaan perisian tersebut sehingga akhirnya dia berjaya menghasilkan analisis data sendiri.

Pertemuan yang asalnya hanya dirancang sekitar 2 jam meleret sehingga hampir 5 jam! Jika tidak kerana temujanji untuk facial di Lanai, besar kemungkinan berlarutan sampai ke petang :)

Terima kasih Simin, di atas pertemuan ini kerana di situ ukhuwwah kita semakin meneguh, silaturahim kita kian erat. Oh ya .. terima kasih untuk kacang Pistacchio yang dibawa khusus dari negara Iran serta makan tengahari yang enak tadi.

Selamat Maju Jaya sahabat, doakan kita sama2 tiba ke puncak pendakian!

notaiza: hidung dan pipiku merah-merah kesan berfacial huhu

Saturday, October 10, 2009

Ngeteh!


Fuhh .. raya masih bersisa! Tempiasnya masih terasa! Sana sini makan dan minum. Heh ..puasa Syawal belum habis! Namun betapa meriahnya majlis sana sini, saya masih dalam kepompong sendiri. Bukan tidak sudi menyertai riuh rendah rumah terbuka anjuran rakan-rakan namun ada perkara yang harus diprioritikan.

Kampus melambai. Kerja-kerja berkaitan kajian masih bersusun dalam senarai. Namun sesekali otak mahu juga berehat. Badan mahu juga bersantai. Isnin terdekat ini, sahabat saya dari Sarawak akan tiba ke kampus. Saya sudah menjanjikan satu agenda untuk duduk-duduk dan minum-minum bersamanya. Dan baru-baru ini pintu bilik kerja saya diketuk. Dan, ah! sungguh terkejut saya .. melihat kelibat rakan lama tiba-tiba terjongol di sebalik daun pintu. Shaukenov, anak kelahiran Kazakhstan yang tinggi lampai datang mencari saya di situ. Kami lalu bersembang perihal kajian masing-masing dan dia sudah di semester akhir pengajian MBAnya, bakal pulang ke tanahair tidak lama lagi - sebaik penulisan kajiannya diserahkan kepada penyelia. Entah bila akan bersua lagi, ujarnya. Balas saya, sebelum pulang, ketemukanlah saya dengan isterinya. Ya, sudah lama dia berjanji untuk memperkenalkan kami. Dan pantas dia bersetuju. Bulan November, jika tiada aral isterinya akan menyertai pertemuan kami, mungkin kali terakhir sebelum dia meninggalkan bumi Malaysia bertuah.

"Saya sayangkan Malaysia .. saya rasakan seperti berada di negara sendiri!" jelas tuturnya membayangkan keikhlasan tatkala bercerita tentang negara ini.

"Malangnya saya terpaksa pulang juga .. saya gagal mendapatkan perkerjaan di sini," sedikit kecewa dapat saya kesan daripada riak wajahnya. Ya, saya tahu semenjak dahulu lagi dia membayangkan untuk mencari rezeki di Malaysia. Malah dia pernah mengatakan yang dia akan kekal di sini jika berjaya mendapatkan kerja yang sesuai. Namun rezeki belum lagi memihak kepadanya.

"Malaysia negara aman. Kamu beruntung menjadi anak Malaysia!" sambungnya lagi. Saya hanya ketawa kecil. Namun, di hati saya mengiyakannya. Alhamdulillah .. saya bersyukur menjadi anak Malaysia!




Hmm .. proses penganalisisan data kualitatif saya masih dalam pembikinan.
Namun, sesekali tiada salahnya mencuri sedikit ruang untuk melegakan tekanan bukan?
Alangkah seronoknya bersembang santai bersama rakan sambil memperihalkan kisah2 untuk dikonsgi bersama! Oh oh .. ingatan terpaut kepadanya .. Datuk Seri, bila mahu menghirup teh bersama? :)
 

Sentuhan Mata Hati | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates